Ketika mulut menjadi senjata: 3 larangan dalam bertutur kata yang membentuk etika lisan

Bertutur ialah tindakan menggunakan kata-kata untuk menyampaikan fikiran, perasaan, dan maklumat kepada orang lain.

Ini boleh dilakukan secara lisan dalam pelbagai bentuk seperti perbualan harian, ucapan rasmi, perbincangan, atau dalam bentuk komunikasi lisan yang lain.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebolehan bercakap adalah antara anugerah paling berharga yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia.

Namun, adalah penting bagi kita sebagai individu untuk menggunakan pemberian ini dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana.

Ini kerana setiap ucapan yang dilontarkan boleh membawa kesan positif dan negatif, ia menjadikannya alat berkuasa yang harus digunakan dengan berhati-hati.

“Kerana mulut badan binasa” merupakan pepatah melayu yang menyebut tentang kepentingan menggunakan kata-kata yang baik.

Kita diingatkan untuk sentiasa berhati-hati semasa bercakap kerana perkataan yang kita keluarkan boleh membawa kepada kemudaratan.

Sebagai contoh, seseorang individu yang menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, memiliki tahap pendidikan yang tinggi, dan dipandang tinggi oleh orang-orang di sekeliling mereka boleh tiba-tiba sahaja menjadi terasing jika kata-katanya boleh menyinggung perasaan orang lain.

Rasulullah SAW sebagai contoh akhlak yang sempurna, bukan sahaja menyampaikan wahyu ilahi tetapi juga memberikan bimbingan yang benar dalam berbicara.

Dengan meneliti larangannya, kita dapat memahami bagaimana komunikasi beretika mempengaruhi identiti kita sebagai orang Islam, yang memikul tanggungjawab moral terhadap kata-kata kita.

Mari kita lihat dalam perbincangan ini tentang bagaimana larangan ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan asas komunikasi yang baik dan beretika.

Image by Imuslim.co

1. Larangan berbahasa kesat.

Bercakap secara kasar bertentangan dengan ajaran Islam dan dianggap sebagai tingkah laku yang tidak beretika.

Dalam ajaran Islam, ditegaskan bahawa bercakap kasar atau terlibat dalam gosip adalah dilarang dan merupakan bahagian penting dalam mengekalkan etika lisan yang baik.

Rasulullah SAW dalam ajarannya diturunkan kepada umat Islam melalui hadis, berpesan kepada orang yang beriman supaya menjauhkan diri daripada menggunakan perkataan yang boleh memudaratkan atau menyakiti perasaan orang lain.

(Hadith riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis ini, Rasulullah SAW menasihatkan kita bahawa jika seseorang ingin memiliki sifat-sifat terhormat, mereka harus menahan diri daripada menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan.

Berikutan itu, larangan ini menyampaikan mesej kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap kata-kata mereka bagi mengelak daripada menyinggung perasaan atau memudaratkan orang lain.

2. Larangan berbohong ketika bercakap.

Berbohong adalah dilarang dan sangat ditegah dalam Islam, dan larangan ini dijelaskan dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Kepentingan berpegang kepada kebenaran dan menjauhi kebatilan ini dapat dibuktikan melalui surah Ali-Imran ayat 103.

Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman,

“Hendaklah kamu berpegang teguh kepada agama Allah, tidak bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu saling bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan nikmat Allah kamu menjadi bersaudara. Kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari neraka itu. Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu mendapat petunjuk.”

(Ali Imran: 103).

Lebih-lebih lagi, Rasulullah SAW juga berpesan kepada umat Islam agar sentiasa bercakap benar, sebagaimana disebutkan dalam hadisnya:

Nabi bersabda “Berbicaralah dengan kebenaran, kerana kebenaran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa kepada syurga.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan bahawa kebenaran adalah landasan utama dalam berbicara, dan dengan berpegang kepadanya, individu boleh mencapai kebenaran dan akhirnya mencapai syurga Allah.

3. Larangan bercakap tanpa ilmu atau sekadar meneka.

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(Surah Al-Israa’ ayat: 36)

Allah melarang membicarakan sesuatu tanpa pengetahuan yang jelas atau hanya bergantung kepada tekaan semata-mata.

Terlibat dalam tingkah laku sedemikian boleh mengakibatkan fitnah dan tuduhan palsu terhadap individu yang tidak bersalah.

Rasulullah s.a.w juga melarang umatnya menyebarkan fitnah, kerana ia tidak mempunyai tujuan selain untuk merosakkan nama baik seseorang.

Oleh itu, jelas bahawa fitnah adalah haram dan sangat ditentang. Rasulullah SAW mengecam dengan keras tindakan tersebut, sebagaimana disebutkan dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Huzaifah R.A.

“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”

Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)

Image by Imuslim.co

Kesimpulan

Hasil daripada perbahasan diatas, larangan tersebut bukan bertujuan untuk menghadkan kebebasan manusia dalam bersuara, sebaliknya ia memberi panduan kepada kita dalam memastikan setiap perkataan yang diucapkan bermanfaat, berbudi, dan mendekatkan diri kepada Allah.

Justeru, apabila umat Islam memahami dan menerapkan ajaran Rasulullah SAW, mereka dapat memupuk suasana yang bercirikan kejujuran dan saling menghormati.

Jika tidak mampu berkata baik dan boleh menggembirakan orang lain, maka lebih baik diam.

Maka, umat Islam hendaklah mentaati ajaran Rasulullah SAW bagi melahirkan individu yang berhati-hati dan bermuhasabah dalam pertuturan, memastikan kata-katanya tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Sofia Nazari

Sofia Nazari

Penulis adalah seorang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia

Feedback Artikel

Feedback yang diberikan penting untuk membuat artikel yang lebih baik dari masa kesemasa.